ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA

Friday, 31 August 2012

Fadhilat Wudhu’


Wudhu’? Rasanya ramai antara kita yang memang sudah mahir dan pakar dalam bab ni memandangkan kita memang sudah di ajar dari kecil mengenai perkara ini. Tetapi suka untuk dikongsi bersama sebagai satu peringatan. Mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi kita pelajar oversea untuk ke kelas dalam keadaan berwudhu supaya jimat masa dan senang untuk solat terutamanya bila waktu solat sangat singkat. Tidaklah salah untuk mengekalkan wudhu yang masih ada tetapi alangkah elok kalau kita membiasakan diri untuk berwudhu setiap kali hendak solat walaupun belum batal kerana itu adalah yang tebaik. Mungkin ada pengecualian pada tempat-tempat tertentu yang susah untuk berwudhu ataupun sewaktu kita sedang bermusafir. Lagi satu, mungkin juga kita cenderung untuk memelihara wudhu disebabkan keadaan sekarang yang sangat sejuk dan nak sentuh air untuk berwudhu pun macam agak susah. Dan saya teringat kata-kata seorang kawan, dia kata kita sepatutnya bersyukur kerana kita telah diberi kelebihan oleh Allah untuk hidup di bumi Ireland yang sejuk ni. Mungkin dengan usaha kita yang ikhlas untuk berwudhu dan usaha utntuk melawan perasaan malas itu mendapat ganjaran yang besar di sisiNya, insyaAllah.
Saya pernah dengar bahawa setiap kali kita berwudhu akan gugur dosa-dosa kecil. Jadi, sama-samalah kita fikirkan. Tidakkah kita mahu dosa kita di hapuskan dengan hanya mengambil wudhu yang sempurna. Sesungguhnya wudhu yang sempurna bukan hanya menjamin solat diterima tetapi juga boleh menghapuskan doa-dosa selagi tidak melakukan syirik.

Rasulullah saw bersabda :
“Dari Abu Hurairah berkata: telah bersabda Rasulullah saw: Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwuduk maka setelah ia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya bersama air atau titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwuduk ia bersih dari dosa-dosanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Selain daripada itu, antara fadhilat lain wuduk ialah mengangkat darjat manusia.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:
“Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: Sukakah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian? Mereka menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Maka Baginda saw pun bersabda: Iaitu (antaranya) menyempurnakan wudhu walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya).” (Hadis riwayat Muslim)

Seterusnya, wudhu dapat memberi cahaya di akhirat.
“Sesungguhnya umatku dipanggil pada Hari Kiamat dalam keadaan bercahaya wajah-wajah, tangan-tangan & kaki-kaki mereka kerana bekas wudhu.” (Riwayat Bukhori dan Muslim)
Pernahkah kita dengar bahawa wudhu dapat membuka ikatan syaitan? Ya, Rasulullah ada bersabda bahawa ikatan syaitan pada manusia akan terlerai dengan wudhu.

“Dari Abu Hurairah, beliau meriwayatkan dari Rasulullah saw, bahawa syaitan mengikut manusia ketika tidur di malam hari, dengan tiga ikatan. Kemudian Rasulullah saw memberitahu cara untuk merungkai ikatan tersebut, dalam sabda Baginda saw: Sekiranya dia (manusia) bangun (dari tidurnya), dan mengingati Allah, bebaslah satu ikatan. Sekiranya dia berwudhu pula, bebaslah satu ikatan lagi, dan sekiranya dia bersolat, bebaslah satu ikatan lagi. Maka dia akan menjadi segar dan baik dirinya. Sekiranya dia tidak melakukannya (berzikir, wudhu, dan bersolat), maka dia akan menjadi buruk dan pemalas.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Subhanallah, betapa besar dan istimewanya ganjaran berwudhu. Tak susahkan?? Sesungguhnya islam itu sangat mudah. Jadi, saya ingin menyeru kepada semua dan diri sendiri juga untuk rajin-rajinkalah diri kita untuk berwudhu. Basahkanlah anggota badan kita dengan wudhu. InsyaAllah segala usaha kita untuk berwudhu dan menyucikan diri mendapat ganjaran yg besar daripada Allah.

Firman Allah:
“…Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang bersih” (Al-baqarah : 222)

Sekadar ini sahaja perkongsian untuk kali ini. Mudah-mudahan kita diberikan kekuatan untuk sentiasa mengamalkannya.


 

Golongan VIP Di Akhirat


Rasulullah s.a.w menjelaskan suatu keadaan yang amat menggerunkan pada hari Kiamat dalam sepotong hadis baginda yang bermaksud ;
“ Didekatkan matahari pada hari Kiamat kepada makhluk sehingga jaraknya satu batu (samada ukuran sekarang atau akhirat), maka ketika itu manusia berada di dalam peluh masing-masing menurut kadar amalan jahat yang dilakukan. Ada di kalangan mereka yang mengharungi peluhnya sekadar buku lali, ada yang sampai ke lutut, ada yang sampai ke pinggang dan ada yang sampai ke mulutnya (sambil baginda menunjukkan isyarat ke mulutnya).” ( Muslim & Tarmizi )

Pada saat ini, manusia mencari-cari tempat berteduh untuk berlindung daripada kepanasan tersebut. Segala harta kekayaan ketika di dunia dahulu sudah tidak dapat berfungsi kecuali yang telah dibelanjakan dengan cara yang diredhai oleh Allah. Walaubagaimanapun ada golongan ‘VIP’ tertentu yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w untuk mendapat ‘grand stand’ berbumbung pada saat genting itu. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa baginda bersabda yang bermaksud ;
“ Tujuh golongan yang Allah akan naungi mereka pada hari yang tiada teduhan melainkan teduhan yang diberikan oleh Allah”.

mereka ialah :
1) PEMIMPIN YANG ADIL

Golongan ini diletakkan pada senarai yang pertama kerana ia bakal melahirkan ramai lagi calon untuk mengisi enam golongan seterusnya. Di dalam kitab Dalil al-Faalihin, diterangkan bahawa makna adil ialah mematuhi segala perintah Allah dengan meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Pemimpin yang adil akan meletakkan Allah dan Rasulullah s.a.w sebagai rujukan utama di dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil. Golongan ini diketuai oleh Rasulullah s.a.w yang menjadi Perdana Menteri Negara Madinah selama 10 tahun, diikuti oleh Khulafa’ al-Rasyidin dan setiap pemimpin yang berusaha mencontohi mereka di dalam kepimpinannya.

2) REMAJA YANG MEMBESAR DALAM KETAATAN
Usia remaja amatlah mencabar. Pelbagai pengaruh menghantui para remaja samada melalui rakan-rakan sebaya, media cetak, elektronik dan lain-lain. Jiwa remaja sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru terutamanya yang kelihatan menyeronokkan seperti mempunyai pasangan kekasih, merokok, merempit, berkaraoke dan pelbagai aktiviti yang ada kalanya menyebabkan kesan yang sangat negatif kepada masa depan mereka sendiri. Walaubagaimanapun di celah-celah keributan gejala sosial ini, masih ada remaja yang menjaga agama mereka. Mereka berkawan, berseronok, dan beraktiviti seperti biasa, namun batasan agama sentiasa dipatuhi. Halal dan haram menjadi pertimbangan terpenting dalam kehidupan sehingga ada kalanya dipandang asing oleh rakan sebaya. Mereka ini yakin dengan janji Rasulullah s.a.w bahawa naugan Allah sedang menanti di akhirat kelak sebagai ganjaran terhadap kekuatan ‘antibodi’ yang menepis segala pujuk rayu maksiat pada usia remajanya.

3) PENCINTA MASJID
Sepanjang sejarah Islam, ada golongan manusia yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Mereka sanggup berkorban apa sahaja yang dimiliki demi menghidupkan fungsi masjid di atas muka bumi ini. Setiap kebaikan yang berlaku di masjid pasti menggembirakannya dan sebarang usaha atau tindakan untuk mengganggu institusi masjid bakal menyentap emosi mereka secara spontan. Golongan ini mempunyai 5 sifat sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Taubah, ayat 16 iaitu keimanan yang kukuh kepada Allah dan hari Akhirat, serta sentiasa mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak pernah gerun di dalam menjalankan tanggungjawab agama, melainkan hanya kepada Allah.

4) DUA INSAN YANG BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH
Berkasih sayang adalah soal hati. Ia merupakan suatu perasaan yang tidak boleh dilakonkan atau dibuat-buat oleh seseorang. Setiap insan pasti ada orang yang dikasihinya samada ahli keluarga, sahabat handai ataupun tokoh yang dikagumi. Persoalannya, atas dasar apakah kasih sayang itu dibina ? Sekiranya kerana wajah yang jelita, harta yang melimpah atau kepentingan-kepentingan duniawi yang lain, maka masih belum layak untuk mendapat naungan Allah di akhirat nanti. Perasaan mengasihi kerana Allah lahir apabila melihat seseorang yang sangat bersungguh di dalam mentaati Allah dalam segenap urusan hidupnya. Persahabatan terjalin sehingga menjadikan setiap pertemuan dan perpisahan sesudah itu adalah untuk urusan agama.

5) DIGODA BERZINA
Golongan kelima yang dijanjikan naungan Allah ialah seorang pemuda yang digoda berzina oleh perempuan yang cantik lagi berpangkat, lalu ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah !’. Nafsu dan keinginan orang muda pastinya sentiasa hangat, tambahan pula digoda oleh perempuan cantik lagi mengiurkan, di samping pangkat yang dimilikinya boleh dimanfaatkan untuk mengelak sebarang hukuman atau tindakan daripada pihak tertentu. Dalam keadaan ‘line clear’ ini, anak muda tersebut masih ada Allah di hatinya lalu dengan tegas membuktikan kegerunannya terhadap murka Allah mengatasi gejolak nafsunya. Ia pasti bersama panji Nabi Yusof a.s di akhirat kelak bersama para bidadari yang disediakan oleh Allah.

6) MENYEMBUNYIKAN SEDEKAH
Ada insan yang sentiasa berurusniaga dengan Allah. Pelaburannya sentiasa dijuruskan untuk mendapat ‘profit’ akhirat yang kekal abadi lalu sentiasa bermujahadah untuk mencapai martabat kemuncak keikhlasan sehingga Rasulullah s.a.w mentamsilkan bersedekah tangan kanan, tangan kiri tidak mengetahui apa yang diberikan. Tidak pernah terdetik di hati untuk mendapat pujian daripada manusia sekeliling sehingga menyebabkan nilai pahalanya begitu tinggi walaupun jumlah sedekahnya kecil pada penilaian manusia. Apatah lagi ketika mereka bersedekah dengan jumlah yang besar di samping hatinya yang sangat suci, pastinya melayakkan mereka di akhirat nanti untuk bersama para hartawan dari kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w.

7) MENGINGATI ALLAH SEHINGGA MENITISKAN AIR MATA
Golongan terakhir ialah insan-insan yang begitu tekun bermuhasabah tentang diri mereka sehingga menitiskan air mata di kala berseorangan. Mereka memikirkan dosa-dosa lampau dan juga betapa banyaknya perintah Allah yang belum tertunai. Si ayah dan ibu memikirkan anak-anaknya yang tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat, si peniaga yang teringatkan tipu helahnya dalam melariskan jualan, si anak mengimbau dosa-dosa terhadap kedua ibu bapanya dan pelbagai situasi lagi yang akhirnya menyebabkan mutiara-mutiara jernih mengalir di pipi, semata-mata kerana Allah.

Saturday, 25 August 2012

Azab Meninggalkan Solat Fardhu


Takutilah azab Allah. Apa akan terjadi bila kita meninggalkan solat fardhu yang wajib ke atas kita?
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang memudahkan dan mensia-sia akan sembahyang lima waktu, nescaya akan diseksa oleh Allah SWT dengan lima belas siksa. Enam didalam dunia, tiga ketika hendak mati, tiga didalam kubur, dan tiga lagi semasa waktu bangun dari kubur menuju akhirat”
Enam Siksaan Semasa di Dunia
  • Umur tidak diberkati, hidup panjang tetapi kosong dari amalan kebajikan.
  • Rezeki tidak diberkati.
  • Dipadamkan tanda mukanya dari orang-orang yang soleh.
  • Tiada mendapat bahagian dari doa orang-orang yang soleh.
  • Tiap-tiap amalannya tidak diterima oleh Allah.
  • Tidak diangkat doanya, doanya tidak dimakbulkan oleh Allah.
 Tiga Siksaan Semasa Hendak Mati
  • Mati dalam keadaan sangat hina, tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah.
  • Dimatikan oleh Allah dalam keadaan dahaga, walaupun diberi minum dengan air laut, ia tidak dapat menghilangkan dahaganya.
  • Mati dalam keadaan yang sangat lapar.
 Tiga Siksaan Semasa di Dalam Kubur
  • Allah menyempitkan kuburnya sehingga berlaga tulang rusuk kanan dengan tulang rusuk kiri.
  • dibukakan salah satu pintu neraka di dalam kuburnya.
  • Allah mewakilkan seorang malaikat untuk menyiksanya sehingga hari kiamat bersama seekor ular yang bernama Suju’al Akruk yang matanya dari neraka, kukunya dari besi neraka, dan panjang kukunya sehari perjalanan, dan suaranya seperti petir.
 Semasa Hari Kiamat
  • Turun seorang malaikat dari langit iaitu malaikat azab dengan rantai dari api neraka yang panjang tujuh puluh hasta dengan menusukkan rantai tersebut kedalam mulutnya hingga keluar rantai itu melalui duburnya dan menghela sekali dibahagian muka dan belakangnya.
Sama-sama kita memperelokkan solat kita agar kita terlepas daripada siksa tersebut. Jika ada yang tinggal sebelum ini, gantilah solat tersebut selagi kita masih bernyawa. Selagi pintu taubat masih terbuka.Ya Allaah peliharakanlah Iman dan Islam kami dan semua keturunan kami dari azab api neraka .Wallaahhualam

Monday, 13 August 2012

Kelebihan Ayat Seribu Dinar

 

                           Ayat Seribu Dinar
Bermaksud :
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.


Ayat 2 dan 3 Surah At-Talaq

Ayat ini mengandungi seribu faedah jikalau di amalkan tiap-tiap kali lepas sembahyang sebanyak tiga kali, insya’Allah akan beroleh seribu faedah, barang siapa yang beramal ayat ini Allah taala akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala kesulitan, Allah ta’ala akan memberi rezeki yang banyak dengan tidak di sangka-sangka dan Allah Ta’ala menyampaikan segala hajatnya, dengan beramal bersungguh-sungguh dan yakin kepada Allah, terlindung segala daripada bala di darat dan di laut.
* Jikalau dibaca ayat ini kepada orang yang sedang sakit sebanyak 3 kali dan dihembuskan kepada si pesakit itu dan di jampi pada air sebanyak 3 kali diberi minum, insya’Allah si pesakit akan sembuh.
* Jikalau mendapat sebarang kesusahan yang amat berat, kesusahan kerana kezaliman orang-orang tamak, oleh peperangan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Negara, beramallah selalu dengan ayat ini selepas daripada sembahyang lima waktu, mudah-mudahan segala kesusahan mendapat perlindungan dari Allah Ta’ala.
* Jikalau masuk berperang menentang musuh, tiada binasa oleh terbakar, jika di pukul dengan besi tiada lut dan tiada binasa dari sebarang benda yang bahaya, hendaklah beramal ayat ini dan bertawakkal kepada Allah, baca ayat ini sesudah sembahyang lima waktu, baca ketika hendak tidur tiga kali, baca ayat ini ketika hendak keluar rumah sekurang-kurangnya tiga kali.
Ramai antara kita yang menjadikan Ayat Seribu Dinar itu sebagai hiasan di dinding tanpa membacanya & mengamalkannya. Cuba hafal dan amalkan. Terutama sebagai ayat pendiding dari anasir jahat. Begitu juga apabila keluar untuk mencari rezeki. Tidak kurang juga untuk menjadi ayat tautan ikatan kasih antara dua hati. Pernah dikhabarkan oleh mereka yang mengamalkannya di dalam sebuah keluarga, di mana mereka mengamalkan ayat seribu dinar dengan membaca tiga kali setiap kali selepas solat. Hati mereka seperti diikat antara satu sama lain. Jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada salah seorang ahli keluarga yang lain akan dapat merasakannya. Begitulah juga apabila mereka berjauhan, hati mereka seolah berinteraksi antara satu sama lain. Itulah rahsia mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam. Cuma kita yang masih tidak menyedari, rahsia di sebalik mukjizat itu.
Harus diinsafi bahawa seseorang yang hendak mengamalkan ayat-ayat al-Quran wajiblah juga mentaati ajaran dan petunjuk yang terkandung di dalamnya.
Di antara fadhilat-fadhilat lain Ayat Seribu Dinar ini ialah:
1. Dibaca bila kita hendak bertawakkal terhadap sesuatu perkara.
2. Menghilangkan keresahan bila dibaca di waktu resah.
3. Dibaca ketika hendak menaiki kenderaan.
4. Dan ketika dirasakan perlu.
 
Sejarah Ayat Seribu Dinar

Bagaimana dan kenapa ayat ini dinamakan ayat seribu Dinar?

Sebenarnya ayat ini adalah salah satu daripada ayat Al-Quran. Iaitu dari Ayat 2 dan 3 surah At-Tolaq.Kenapa ayat ini dinamakan sebagai ayat seribu dinar?Kisahnya begini, Pada suatu ketika dulu, adalah seorang pedagang lelaki yang bermimpi didatangi Nabi Khaidhir. Mimpinya yang Pedagang ini diperintahkan Oleh Nabi Khaidhir supaya bersedekah sebanyak 1000 dinar. Pedagang tersebut telah bermimpi sebanyak 3 kali dengan perkara yang sama. lalu pedagang tersebut mula merasakan yang mimpi itu adalah perkara yang benar.
Kemudian, Pedagang tersebut mengikut mimpi yang dilaluinya itu dengan bersedekah sebanyak 1000 dinar. Kemudian datang mimpi sekali lagi menemui Nabi Khaidhir yang mana Nabi Khaidhir mengajar pula ayat 2 hingga 3 surah At-Tolaq supaya diamalkan. Kemudian Pedagang tersebut terus mengamalkan ayat tersebut seperti mana yang diajarkan oleh Nabi Khaidhir.
Pada suatu hari ingin pergi berdagang ke suatu tempat dengan menggunakan jalan laut dengan menaiki kapal. Ketika dalam perjalanan,tiba-tiba ribut taufan yang amat dasyat datang membadai kapal pedagang tersebut. Dalam keadaan sebegitu,Pedagang tersebut hanya bertawakkal dan berserah sahaja kepada Allah sambil terus menerus membaca surah yang seperti mana diajar oleh Nabi Khaidhir dalam mimpinya itu.
Dan akhirnya kapal mereka pecah dipukul ombak besar dan semua penumpang dan anak kapal pedagang mati dan kembali ke Rahmatullah kecuali hanya pedagang tersebut sahaja yang masih hidup, sehinggalah ribut sudah reda dan pedagang tersebut tersedar dan mendapati dirinya sudah berada ditepi pantai di sebuah negeri bersama barang-barangnya yang tidak sedikitpun rosak.
Sambil menadah tangan dan mengucap kesyukuran kepada Allah yang maha berkuasa dengan kehendaknya dan hikmah disebalik membaca ayat seribu dinar itu maka pedagang itu selamat. Lalu, pedagang tersebut menagmbil keputusan untuk tinggal sahaja di negeri tersebut dan ayat yang diajar nabi Khaidhir terus diamalkan.
Selama pedagang tersebut tinggal di negeri itu, pedagang tersebut mengambil keputusan berniaga dan berdagang dengan penduduk setempat. Dengan amalannya membaca ayat seribu dinar. Kemudian dengan izin Allah, pedagang tersebut telah diangkat sebagai raja dalam negeri itu (rezeki yang tidak disangka-sangkanya.)
Begitulah kisahnya disebalik nama ayat seribu dinar...

Wallahu a'lam...
sumber


Saturday, 11 August 2012

Matikan lampu ketika tidur, tinjauan Sains dan pesanan Rasulullah SAW

Semakin malam semakin gelap tubuh kita akan merasa lelah dan mengantuk. Ini jelas wajar, sintesis dan sekresi hormon melatonin oleh kelenjar pineal meningkat seiring dengan semakinnya malam.

Hormon inilah yang menyebabkan kita menjadi mengantuk di malam hari. Fungsi dari rasa kantuk adalah sebagai isyarat positif tubuh agar segera mengistirahatkannya. Hormon yang mempengaruhi irama sirkadian ini kemudian akan menyesuaikan sehingga terjadi penyegerakan antara kitaran tidur dengan kitaran pergantian siang dan malam di alam sekitar.

Dari Jabir Bin Abdullah bahawasanya Rasulullah bersabda:

 "Matikanlah lampu-lampu diwaktu malam jika kamu hendak tidur, dan tutuplah pintu-pintu, bekas serta makanan dan minuman kalian. (HR. Bukhari dan Muslim)

Seorang biolog, Joan Roberts mencari rahsia setelah melakukan percubaan pada haiwan. Ketika haiwan tersebut diberi cahaya buatan pada malam hari, melantonin nya (salah satu hormon dalam sistem kekebalan yang mampu memerangi dan mencegah berbagai penyakit termasuk kanser payudara dan kanser prostat) menurun dan sistem kekebalan tubuhnya lemah.

Rupanya, cahaya Lampu - seperti juga TV - menyebabkan hormon menjadi sangat lelah. Keadaan malam yang gelap diam-diam bekerjasama dengan tubuh. Hanya dalam keadaan yang benar-benar gelap tubuh menghasilkan melantonin. Sebaliknya, tidur dengan lampu menyala di malam hari - sekecil apapun sinarnya menyebabkan Pengeluaran hormon melantonin terhenti.

Tidur yang berkualiti dalam erti bahawa dalam selang masa selama kita tidur, otak kita benar-benar dalam keadaan berehat. Sinar cahaya saat kita tidur menjadikan kualiti tidur kita kurang baik, ini kerana sinar tersebut masih berperanan sebagai perangsang stimulator kerja otak.

Secara ilmiah, cahaya yang ada dalam bilik tidur akan menembus sampai bahagian mata kita walaupun dalam keadaan terlelap, sinar tersebut akan memasuki bilik stimulator yang nantinya direspon oleh otak. Dengan kata lain walaupun mata kita terpejam, tetapi jika ada cahaya yang bersinar maka otak kita akan bekerja untuk bertindak balas atau mengartikan cahaya yang masuk tersebut.

Tidur yang berkualiti di malam hari merupakan usaha pengoptimuman dalam detoksifikasi untuk meneutralkan toksin yang mengontaminasi tubuh. Detoksifikasi tubuh, terjadi terutama pada hati, tercapai optimum saat tidur. Mekanisme tersebut berkaitan erat dengan diproduksinya antioksidan sebagai penetral toksin. Pada tidur yang berkualiti, detoksifikasi hati dapat berjalan optimum, khususnya dalam pembentukan asid amino glutathione sebagai antioksidan yang meneutralkan stres oksidatif dan radikal bebas.

 Mencegah Kanser Payudara

Tidur malam dalam bilik yang gelap benar-benar bermanfaat buat tubuh. Ahli biologi Joan Robert mengatakan tubuh baru boleh menghasilkan hormon melatonin ketika tidak ada cahaya. Hormon ini adalah salah satu hormon kekebalan tubuh yang mampu memerangi dan mencegah berbagai penyakit termasuk kanser payudara dan kanser prostat.

Malangnya, hormon melatonin ini tidak akan muncul jika orang tidur malam hari dengan lampu menyala. Adanya cahaya atau sinar membuat pengeluaran hormon melatonin akan berhenti.

Dengan mematikan lampu ketika tidur malam hari, bukan hanya menjimatkan tenaga tetapi juga meningkatkan kesihatan tubuh. Maka itu tidur malam sambil nonton TV juga sangat tidak disyorkan.

Pengamal kesihatan yang lain, Lynne Eldridge MD yang juga penulis buku 'Avoiding Cancer One Day At A Time' juga menuliskan perempuan buta 80 peratus lebih kecil terkena risiko kanser payudara berbanding rata-rata perempuan lain. Diduga faktor hormon melatonin yang banyak ditubuhnya kerana penglihatan yang gelap membuatnya punya daya tahan tubuh yang lebih tinggi.

Pentingnya tidur malam hari dengan mematikan lampu baru-baru ini juga diteliti oleh para saintis dari Inggeris dan Israel. Penyelidik mendapati ketika cahaya dihidupkan pada malam hari, boleh menyebabkan ekspresi berlebihan dari sel-sel yang dikaitkan dengan pembentukan sel kanser.

Para saintis mendakwa jika seseorang terbangun di malam hari dan menyalakan lampu selama beberapa saat, maka boleh menyebabkan perubahan biologi yang mungkin mengarah ke kanser.

Jika pada penelitian sebelumnya tidur malam dengan lampu terang dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara dan kanser prostat. Maka pada penelitian terbaru ini menunjukkan paparan jangka pendek juga boleh dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser.

"Orang-orang yang bangun di malam hari disyorkan untuk tidak menyalakan lampu. Kami percaya bahawa setiap kali menyalakan cahaya buatan pada malam hari akan mempunyai kesan pada biologi tubuh, kerana ini adalah mekanisme yang sensitif," ujar Dr Rachel Ben-Sclomo dari University of Haifa.

Dr Rachel menambah bahawa ini adalah penemuan terbaru dan masih sebatas penelitian pendahuluan. Namun kini ia dan pasukan tengah menganalisa wilayah ini secara lebih terperinci. Keputusan ini juga telah dilaporkan dalam jurnal Cancer Genetics and Cytogenetics.

Anak-anak yang tidur dengan lampu menyala berisiko mengidap leukemia.

Para saintis mendapati bahawa tubuh perlu suasana gelap dalam menghasilkan bahan kimia pelawan kanser. Bahkan ketika menyalakan lampu toilet, begadang, mengembara melintas zon masa, lampu-lampu jalan boleh menghentikan pengeluaran zat melatonin.

Tubuh memerlukan zat kimia untuk mencegah kerosakan DNA dan ketiadaan zat melatonin tersebut akan menghentikan asid lemak menjadi tumor dan mencegah pertumbuhannya.

Prof. Russle Reiter dari Texas University yang mengetuai kajian tersebut mengatakan "Sekali anda tidur dan tidak mematikan lampu selama 1 minit. Otak anda akan mengesan bahawa lampu menyala seharian dan pengeluaran zat melatonin menurun ".

Jumlah anak-anak pengidap leukimia naik menjadi dua kali ganda dalam kurun 40 tahun terakhir. Sekitar 500 anak muda di bawah 15 tahun didiagnosis menderita penyakit ini setiap tahun dan kira-kira 100 orang meninggal.

Sebuah persidangan tentang anak penderita leukimia diadakan di London menyatakan bahawa orang menderita kanser akibat terlalu lama memakai lampu waktu tidur dimalam hari berbanding dengan yang tidak pernah memakai lampu waktu tidur.

Hal ini menekan pengeluaran melatonin di mana biasanya terjadi antara pukul 21.00 9 s / d pukul 20.00. Penelitian terdahulu telah menunjukkan bahawa orang-orang yang paling mudah diserang adalah para pekerja shift yang mempunyai risiko terkena kanser payudara.

Pada kenyataannya, Orang-orang buta tidak terdedah kepada melatonin mempunyai risiko yang lebih rendah menghidap kanser. Maka orang-orang tua disyorkan utk menggunakan bola lampu yang suram berwarna merah atau kuning jika anak-anaknya takut pada kegelapan.

sumber dari :http://detikislam.blogspot.com



Wednesday, 8 August 2012

Sebab Allaah Sembunyi Lailatul Qadar

Kedatangan Ramadhan dengan kelebihannya terutama dianugerahkan satu malam daripada malam-malamnya yang dipanggil lailatul qadar hendaklah direbuti oleh kita semua sebagai umat yang cintakan Allah dan hari akhirat. Peluang yang datang jangan dilepaskan begitu sahaja kerana kelak kita kerugian yang tidak mampu dibayar dengan tangisan dan penyesalan. Melalui beberapa hadis Rasulullah s.a.w, baginda menerangkan bagaimana pada kebiasaannya malam lailatul qadar akan datang pada sepuluh akhir Ramadhan.
Oleh itu gunakanlah masa ini sebaiknya untuk beribadat janganlah terlalu sibuk dengan persiapan hari raya sahaja. Islam tidak melarang umatnya bersiap untuk berhari raya tetapi kita juga mesti mengutamakan bekalan akhirat yang lebih utama. Betapa ramai yang menghabiskan sepuluh terakhir Ramadhan di kedai-kedai, supermarket, pasaraya dan sebagainya kerana mahu menyambut hari raya sedangkan pada masa yang sama tawaran yang lebih hebat apabila kita beramai-ramai menghidupkan sepuluh malam terakhir itu di surau atau masjid. Janganlah kerana mahu mengejar sementara kita terlupa kepada bekalan apabila bertemu dengan Allah di akhirat sana.

MAKSUD SURAH AL-QADAR

Firman Allah dalam surah al-Qadar 1-5 yang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah menurunkan ( al-Quran ) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah itu malam Lailatul qadar?. Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Di malam itu turun para malaikat dan Jibril dengan Izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu (penuh ucapan) kesejahteraan sehingga terbit fajar.
SEBAB PENURUNAN SURAH AL-QADAR
Di sini ada beberapa riwayat yang menceritakan mengenai sebab diturun dan diberi kelebihan malam al-Qadar yang dianugerahkan kepada umat nabi Muhammad s.a.w dan tidak diberi kepada umat sebelumnya.
1. Ibu Jarir mengeluarkan daripada Mujahid dengan katanya : Adalah pada umat bani Israel ada seorang pemuda mendirikan malam sehingga Subuh. Kemudian dia berjihad melawan musuh pada siang hari sehingga petang. Dia melakukan amalan ini selama seribu tahun lalu Allah menurunkan ayat ini yang memberi galakan dan kelebihan kepada umat nabi Muhammad s.a.w yang mendirikan malam al-Qadar di mana mereka akan memperolehi ganjaran yang lebih baik daripada pemuda bani Israel tadi.
2. Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Baihaki dalam sunannya daripada Mujahid memberitahu bagaimana nabi telah menceritakan tentang seorang pemuda bani Israel telah membawa senjata berjihad di jalan Allah selama seribu tahun maka seluruh umat Islam yang mendengar perkara ini merasa begitu kagum lalu Allah menurunkan ayat ini yang menyatakan bagaimana umat ini akan dapat menandingi ganjaran yang diperolehi oleh pemuda tadi dengan mendirikan malam lailatul qadar.
3. Ibnu Abi Hatim daripada Ali bin Urwah telah memberitahu bahawa pada suatu hari nabi telah menyebut tentang 4 orang daripada bani Israel di mana mereka telah menyembah Allah selama 80 tahun tanpa membuat maksiat walau pun sekelip mata. Semua muslimin yang mendengar cerita ini merasa kagum lalu datanglah Jibril membawa datang ayat ini bagi memberi semangat kepada umat nabi Muhammad s.a.w agar menghidupkan malam al-Qadar supaya mereka akan memperolehi kelebihan melebihi amalan pemuda bani Israel tadi.
4. Malik bin Anas memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w apabila melihat kepada umur manusia zaman sebelum ini, maka baginda umur umatnya terlalu singkat di mana baginda merasa bimbang kepada amalan-amalan umat ini yang pasti tidak akan dapat menyamai amalan umat terdahulu. Maka Allah mengurniakan kepada baginda dan umat akhir zaman dengan suatu malam yang lebih baik daripada seribu blan bagi umat lain.
SEBAB DISEMBUNYIKAN MALAM AL-QADAR
Menurut Imam al-Razi seorang penafsir terkenal telah menulis mengenai sebab Allah menyembunyikan malam al-qadar daripada pengetahuan kita iaitu sebagaimana berikut :
Pertama : Allah menyembunyikan malam al-qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredhaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan kegemaran dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah. Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap pemohon bersungguh-sungguh setiap kali berdoa. Begitulah juga Dia menyembunyikan malam al-qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.
Kedua : Jika diberitahu secara jelas tentang malam al-Qadar maka ditakuti manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tetapi dia tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat. Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingatlah bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan malam al-qadar.
Ketiga : Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari malam al-qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.
Keempat : Seseorang yang meyakini akan datangnya malam al-qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan malam al-qadar. Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat
Rujukan
1. Al-Quran al-Karim
2. ad-Durrul al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur, Imam Sayuti, Darul Fikr
Source: ePondok

Lailatul Qadar

Malam istimewa dalam Islam biasanya menjanjikan keberkatan tersendiri seperti malam kelahiran Baginda SAW, malam Baginda SAW dimikrajkan, malam Arafah, malam Jumaat, malam Nisfu Syaaban dan malam hari raya.
Namun, bagi Ramadan yang penuh keberkatan, pada setiap tahun akan diserikan dengan malam istimewa iaitu malam lailatul qadar. Firman Allah yang bermaksud: “Malam lailatul qadar adalah lebih baik dari seribu bulan.” (Surah Al-Qadar, ayat 3).
Ada dua definisi lailatul qadar iaitu malam yang mulia, tinggi, agung, berkat, selamat dan sejahtera. Ini adalah kerana turunnya al-Quran pada malam itu dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah.
Kedua, malam penentuan dari Allah SWT kerana al-Quran yang diturunkan adalah penentu atau pemisah antara kejahilan dan kebatilan. Ada berpendapat malam itu Allah akan menzahirkan kepada malaikat akan ketentuan rezeki, ajal dan masa depan seseorang hamba.
Mereka yang benar-benar ikhlas dalam ibadat puasa akan dapat menikmati ganjaran yang tidak mungkin dapat dicapai sepanjang umurnya iaitu ibadat selama kira-kira 85 tahun. Bagi mereka yang beriman akan sentiasa mencari dan bersedia menanti dengan penuh harapan.
Pada malam lailatul qadar, penghulu malaikat iaitu Jibril akan turun bersama beribu-ribu malaikat. Jibril tidak pernah turun kecuali pada malam istimewa ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada malam itu turun malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya.”
Mereka masuk pada setiap rumah orang yang beriman dengan membawa rahmat dan kesejahteraan. Mereka yang derhaka kepada orang tua, memutuskan hubungan silaturahim serta berterusan minum arak akan dijauhi malaikat.
Malam istimewa ini sudah diceritakan Baginda SAW dalam hadis diriwayatkan daripada Aishah yang bermaksud: “Tuntutilah malam lailatul qadar pada 10 malam terakhir dari Ramadan.”
Pengarang Kitab Fathul Wahhab menyebut, jika awal puasa jatuh hari Ahad atau Rabu, maka lailatul qadar pada malam 29. Jika puasa bermula hari Isnin, maka lailatul qadar pada malam 27. Jika puasa hari Selasa atau Khamis, maka ia jatuh pada malam 25. Jika puasa Jumaat maka ia jatuh pada malam 21. Jika puasa pada hari Sabtu, maka lailatul qadar adalah pada malam 23.
Ulama bernama Abu Al-Hasan berkata: “Setiap tahun dalam hidupku telah mendapati malam itu dengan menggunakan kaedah ini. Namun, ia tetap menjadi rahsia Allah SWT supaya orang yang beriman akan terus berusaha mendapatkannya.”
Apa yang penting bagi umat Islam ialah menghidupkan malam istimewa ini dengan beriktikaf di masjid, berselawat, zikir, istighfar, qiamullail dan berdoa.
Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh pada malam lailatul qadar, maka sesungguhnya dia sudah mencapai lailatul qadar dengan sempurna.” (Al-Hadis).
Orang Islam hendaklah memastikan rumah mereka dihiasi dengan alunan kitab suci serta melakukan perkara diredai Allah SWT sebagai tanda ucapan selamat datang kepada malam lailatul qadar.
Mereka yang mendapat lailatul qadar adalah mereka yang berpuasa dalam erti kata sebenarnya, memahami puasa bukan hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi menahan diri dari segala perkara yang menodai keimanan serta godaan nafsu keinginan yang tiada sempadan.

~Wallaahualam~

Sumber Harian Metro.

Saturday, 4 August 2012

Petua Imam Ghazali Mencari Lailatul Qadar


Jika awal ramadhan jatuh pada hari:

I) Ahad atau rabu malam qadar dijangka berlaku pada malam 29 ramadhan

II) Isnin – malam qadar dijangka berlaku pada malam 21 ramadhan;

III) Selasa atau jumaat – malam qadar dijangka berlaku pada malam 27 ramadhan;

IV) Khamis- malam qadar dijangka berlaku pada malam 25 ramadhan;

V) Sabtu- malam qadar dijangka berlaku pada malam 23 ramadhan

Kata sheikh abu hassan bahawa mula dia baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan lailatul qadar pada malam yang tepat mengikut petua diatas. Walau bagaimanapun, janganlah ibadat pada malam ini sahaja, carilah malam qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga.

Tanda malam qadar ialah :

  • Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas;
  • Siangnya cahaya matahari warnanya pucat;
  • Pada malam itu malaikat jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.

Marilah kita beramai-ramai memeriahkan suasana 10 malam terakhir ramadhan dengan beribadat kepada Allah SWT dengan ikhlas dan penuh keimanan, mudah-mudahan kita dapat kurniaan allah yang kelebihannya pahalanya melebihi 1000 bulan atau 83 tahun umur kita. Teringat ketika waktu sekolah dahulu, sentiasa tertungu-tunggu bilakah malam lailatul qadar tiba.
~Wallahhualam~

Sumber Melayukini.net

Friday, 3 August 2012

KESAN POSITIF PUASA KEPADA KESIHATAN

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Para ilmuwan menganggap berpuasa sebagai fenomena yang penting dan semula jadi, di mana kehidupan yang sempurna dan kesihatan yang baik tidak dapat diperoleh tanpa berpuasa. Apabila seseorang atau bahkan seekor haiwan tidak berpuasa, maka ia akan terjangkit berbagai macam penyakit.
McFadon, seorang ahli kesihatan Amerika, menyatakan: “Setiap orang perlu berpuasa, kerana kalau tidak berpuasa maka ia akan sakit. Sebab racun makanan berkumpul dalam tubuh dan membuatnya seperti orang sakit, memberatkan tubuhnya, dan mengurangkan vitalitinya.

“Apabila ia berpuasa, maka berat badannya menurun, dan racun-racun terurai daripada tubuhnya dan keluar, sehingga tubuhnya menjadi bersih secara sempurna dan sel-sel kembali baik”.
Menurut kajiannya, di antara manfaat kesihatan daripada berpuasa ialah:

  1. Merehatkan tubuh dan memperbaiki saraf.
  2. Menyerap zat-zat yang mengendap di usus. Pengendapan dalam jangka waktu yang lama mengakibatkan perubahan endapan itu menjadi kotoran yang beracun.
  3. Memperbaiki fungsi pencernaan dan penyerapan.
  4. Mengembalikan virtaliti organ pembuangan, dan memperbaiki fungsinya untuk membersihkan tubuh, yang mengakibatkan terkawalnya kestabilan dalam darah dan berbagai cairan dalam tubuh.
  5. Mengurai zat-zat yang berlebihan dan endapan di dalam jaringan yang sakit.
  6. Mengembalikan keremajaan dan vitaliti sel-sel serta berbagai jaringan dalam tubuh.
  7. Menguatkan indera dan meningkatkan IQ.
  8. Memperelok dan membersihkan kulit.
Alexis Carrel, pemenang hadiah nobel di bidang kedoktoran, dalam bukunya Man the Unknown menyatakan: “Banyaknya bahan makanan dapat melemahkan fungsi organ, dan itu merupakan faktor yang besar bagi berdiamnya jenis-jenis virus dalam tubuh.
“Fungsi tersebut adalah fungsi adaptasi terhadap bahan makanan yang sedikit. Gula pada jantung bergerak, dan bergerak pula lemak yang tersimpan dalam kulit.

“Semua organ tubuh mengeluarkan zat khususnya untuk mempertahankan keseimbangan dalaman dan kesihatan jantung. Berpuasa benar-benar memberikan dan pengganti jaringan tubuh kita”.
Allah berfirman yang bermaksud: Kerana itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu. (al-Baqarah: 185).

Sementara Prof. Nicko Lev dalam bukunya, Hungry for Healthy menyatakan: “Setiap orang mesti berpuasa dengan berpantang makan selama empat minggu setiap tahun, agar ia memperoleh kesihatan yang sempurna sepanjang hidupnya”.
Seterusnya, menurut penelitian beliau, mukjizat penepatan waktu berpuasa dari matahari terbit hingga matahari terbenam, adalah dengan tidak berlebihan saat berbuka puasa. Penelitian ilmiah membuktikan bahawa jarak waktu yang tepat untuk berpuasa adalah antara 12 hingga 18 jam. Selepas itu, simpanan gula dalam tubuh mulai terurai.

Dreanik dan kawan-kawannya, pada tahun 1964, mencatat sejumlah penyakit komplikasi kritis akibat berpuasa lebih dari 31 hari.
Di sini nampak jelas mukjizat Nabi SAW dalam larangan berpuasa bersambung (tidak termasuk puasa sunat Syawal).

Di samping itu, penelitian ilmiah membuktikan kepentingan makan sahur dan berbuka adalah untuk membekalkan tubuh dengan zat asam lemak dan amino, tanpa kedua zat ini, lemak dalam tubuh kita akan terurai dalam jumlah besar, sehingga mengakibatkan sirosis pada hati, dan menimbulkan berbagai bahaya besar bagi tubuh.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Umatku akan tetap dalam keadaan baik selama mereka menyegerakan berbuka dan mengakhirkan makan sahur.” (riwayat Ahmad)

Mengenai bersahur (makan sahur), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Bersahurlah kamu sekalian, kerana bersahur itu ada keberkatannya. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Waktu bersahur itu selepas pertengahan malam sampai menjelang terbit fajar (waktu Subuh).

Menyegerakan berbuka, iaitu setelah mengetahui waktu Maghrib. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia sentiasa dalam keadaan baik selama mereka menyegerakan berbuka.” (riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdoa sewaktu berbuka dan sepanjang melaksanakan puasa. Dari Abdullah bin Amr bin As r.a, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang yang sedang berpuasa, saat berbuka doanya tidak ditolak”. (riwayat Ibnu Majah).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga doa yang tidak akan ditolak Allah, orang yang berpuasa sampai ia berbuka, imam (pemimpin) yang adil dan orang yang teraniaya”. (riwayat Tirmizi).
Adapun doa saat berbuka yang bermaksud: “Telah hilang haus dan telah basah tenggorakan, dan telah tetap pahala insya-Allah”. (riwayat Tirmizi).