ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA

Wednesday, 27 June 2012


SIAPALAH KITA TANPA ALLAH

Sebenarnya dalam hidup ini apa yang kita cari? Ada yang menjawab harta, wang ringgit, kebahagiaan, keluarga yang bahagia, kawan yang ramai dan sebagainya. Namun, walaupun semuanya ada digenggaman, ada kalanya kita merasa resah. Walau acap kali kita merasa terlalu bahagia seperti dunia ini kita yang punya kerana, rasa gelisah tetap juga mengusik jiwa... Tidak tahu apa puncanya...
Kenapa ada waktu kita resah dan ada waktu pula kita merasa bahagia?
Cuba sahabat-sahabat meletakkan tangan ke dada dan rasa degupan jantung anda serta sebutlah astaghfirullahal 'Azim dengan rendah hati.... Apa yang sahabat rasa? Seakan wujud satu rasa keinsafan dan kesedihan bukan? Sedih itu bukan bererti kita sedih meratapi tetapi sebenarnya ketenangan yang abadi hinggap di hati apabila kita mengingati Allah.

Cuba sahabat-sahabat tunduk, merasakan diri ini lemah di hadapan Allah. Mata yang melihat ini anugerah Allah, tangan yang bergerak ini kepunyaan Allah, kaki yang berjalan ini milik Allah... Apa yang sahabat rasa? Pastinya timbul rasa kerendahan hati di hadapan Allah bukan? Dan tidak semena-mena perasaan resah gelisah yang tidak tahu puncanya itu hilang sedikit demi sedikit...
Pada waktu kita merasakan terlalu sedih, hina dan tidak berdaya, kita cuba menyebut astaghfirullahal 'Azim... Mengenang kembali dosa-dosa yang terdahulu seterusnya memohon ampun kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Adakalanya kita merasakan diri kita bebas dari dosa. Sepanjang hidup kita tidak pernah melakukan dosa.
Apakah maksud perasaan itu? Ia bermaksud kita sombong di hadapan Allah. Kita merasakan diri kita sudah terlepas dari azab seksa atas usaha kita sendiri bukan atas belas ehsan dari Allah SWT.

Ingatkah sahabat pada kisah seorang ahli ibadah ketika dia ingin dimasukkan ke dalam syurga? Dia bertanya kepada Allah.
"Mengapakah aku dimasukkan ke syurga?"
Lantas Allah menjawab, "Kerana rahmatKU engkau masuk ke syurga"

Lelaki itu membalas, "Tidak, aku mahu masuk ke syurga kerana ibadahku yang banyak ini".
Lalu Allah lemparkannya ke neraka kerana kesombongannya di hadapan Allah.
Seketika kita berasa diri kita kosong, tanpa ada sebab yang kukuh. Sehingga kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang kita telah lakukan sebentar tadi sehingga kita terasa sebegitu kosong. Ini kerana kita belum temui lagi kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar. Kita lupa apa tujuan kita hidup iaitu untuk beribadah kepada Allah.

Apa sahaja yang kita rasa samada bahagia atau sengsara, kuncinya adalah dengan kembali kepada Allah. Akhirnya kita akan temui apa yang kita cari selama ini apabaila hati diikat pada tali Allah. Kita memerlukan Allah dalam hidup kita sedangkan Allah tidak memerlukan sesiapa...
Siapa kita tanpa tuhan yang mencipta... Di mana kita layaknya jika Allah tiada di hati?




KELEBIHAN QIAMULAIL

Apabila seseorang itu jaga dari tidurnya di waktu malam dan membangkitkan isterinya lalu kedua-duanya sama-sama menunaikan dua rakaat sembahyang nescaya mereka ditulis dalam golongan manusia yang banyak menyintai dan menyebuti ALLAH.” – (Diriwayatkan oleh Ibn Hibban dari Abi Sa’id)

Tujuannya

Malam dengan ketenangan dan kejernihan suasananya merupakan sebaik-baik waktu untuk beribadat, kerana itu para mukmin digalakkan mengambil kesempatan-kesempatan keemasan itu untuk mengukuhkan hubungan dan kecintaannya kepada ALLAH. Alangkah qudusnya iman seseorang apabila di saat manusia yang lain sedang tidur nyenyak ia bangkit mendirikan sembahyang dan membangunkan isterinya sembahyang bersama-sama untuk mempersembahkan pujian, harapan, permohonan dan permintaan ampun kepada ALLAH ketika dunia diselubungi sepi dan gelita. Alangkah indahnya pandangan dua manusia suami isteri sama berdiri lurus menghadap qiblat dan sama meletakkan dahi mereka ke lantai di tengah-tengah kekelaman malam untuk membuktikan ‘ ubudiah mereka yang tulus kepada ALLAH, memohon keberkatan hidup dunia dan kebahagiaan hidup di negeri Akhirat.

Di dalam al-Quran dan Hadis terdapat pelbagai sanjungan dan galakan supaya manusia mengejar fadhilat sembahyang malam, firman ALLAH Ta’ala:

” Dan di waktu malam bangkitlah sembahyang tahajjud sebagai sembahyang tambahan bagi ibadatmu semoga ALLAH membangkitkanmu di hari Akhirat dengan kedudukan dan darjat yang terpuji.” – (Al – Isra’ – 79)

Di dalam surah az-Zariat ayat (18) ALLAH memberi sanjungan yang tinggi kepada amlan-amalan orang-orang yang bertaqwa yang mendapat balasan syurga, di antara amalan itu ialah mereka yang banyak melakukan ibadat sembahyang di waktu malam dan memohon keampunan di saat-saat dinihari.

Waktu sembahyang itu luas, ia boleh dikerjakan di awal malam, di pertengahan malam dan di akhir malam selama sembahyang itu dilakukan selepas sembahyang Isya’. Menurut al-Hafiz Rasulullah s.a.w. tidak sembahyang malam di satu waktu tertentu, malah ia sembahyang mengikut kesempatan dan keselesaan yang didapatinya tetapi waktu sembahyang yang paling afdhal ialah ditengah malam iaitu masa sepertiga malam yang akhir.

Bilangan rakaat sembahyang malam tidak juga ditentukan, ia boleh terlaksanakan dengan satu rakaat sembahyang yang didirikan selepas sembahyang Isya’. Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Hendaklah kamu dirikan sembahyang malam walaupun satu rakaat.”

Tetapi yang paling afdhal ialah sebelas rakaat atau tiga belas rakaat seperti kebiasaan yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu dengan satu rakaat atau tiga rakaat witir di akhirnya.

Walaupun demikian, seseorang itu tidaklah disuruh mengerjakan sembahyang malam dengan memaksa-maksakan dirinya secara keterlaluan, kerana ibadat yang sempurna pastilah dilakukan dengan selesa dan ikhlas, apabila ia terlalu mengantuk ia boleh tidur dulu untuk beberapa waktu, kemudian barulah bangkit sembahyang. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

” Apabila seseorang dari kamu sembahyang malam, kemudian bacaan al-Qur’an menjadi asing bagi lidahnya kerana mengantuk hingga ia tidak tahu apa yang dibacakannya, maka hendaklah ia tidur dulu.”

Dalam satu Hadis lagi Rasulullah s.a.w. bersabda :

” Buatlah amalan-amalan itu sekadar kuasamu kerana ALLAH itu tidak jemu hingga kamu jemu.”

Amalan yang sedikit tetapi tekun adalah lebih baik dari amalan yang banyak tetapi jarang-jarang.

Kerana itu persoalan menentukan waktu sembahyang malam dan menentukan banyak mana rakaatnya terserahlah kepada pertimbangan sendiri berdasarkan keikhlasan dan rasa ‘ubudiah’ yang murni.

Di antara peraturan-peraturan yang disunatkan dalam sembahyang malam ialah :

(1) Apabila ia hendak tidur, ia disunatkan untuk bangkit sembahyang malam supaya keazamannya dapat membangkitkannya di waktu yang tepat.

(2) Sesudah mencuci muka, mengambil wudhuk dan bersugi dia disunatkan membaca doa-doa khas sembahyang malam.

(3) Ia disunatkan memulakan sembahyang malam itu dengan dua rakaat yang pendek dan ringkas, selepas itu boleh ia menyambung sembahyang itu seberapa ia suka.

(4) Menggerakkan isterinya agar ia turut serta bersembahyang malam, dan bagi isteri disunatkan menggerakkan suaminya.

Hadis bab ini telah menyebutkan bahawa orang-orang yang banyak mendirikan sembahyang malam akan ditempatkan sejajar dengan golongan yang amat disanjungi ALLAH, iaitu golongan orang – orang yang tidak sunyi mengingati dan menyebut ALLAH sama ada dengan hati, dengan lidah atau dengan kedua-duanya sekali sama ada dalam bentuk berzikir, membaca al-Qu’ran, memikirkan masalah-masalah ilmu yang ada hubungan dengan ketuhanan atau masalah-masalah pengetahuan yang diredhai ALLAH, kerana mempelajari ilmu itu ialah mempelajari undang-undang ALLAH yang berlaku dalam alam ini.

Sumber: http://www.ukhwah.com/


Tuesday, 12 June 2012

Kemaksiatan Akhir Zaman

Daripada Anas bin Malik RA. katanya; Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya antara tanda-tanda kiamat itu ialah; diangkat ilmu (agama), tersebar kejahilan (terhadap agama), arak diminum (secara berleluasa), dan zahirnya zina (secara terang-terangan)”. (Riwayat al-Bukhari no. 78 dan Muslim no. 4824)
Huraian Hadith: Antara tanda-tanda kiamat ialah ramai orang yang jahil terhadap agama, serta arak dan zina bermaharajalela. Dalam hadith lain, dengan isnad yang sahih, ditambah; amalan riba. Nabi SAW bersabda: “Di ambang kiamat nanti, akan zahir zina, riba dan juga arak”. Zina, arak dan riba adalah 3 unsur kejahatan yang berlaku kerana sifat jahil. Tidak semestinya bermaksud mereka jahil tentang hukum haramnya, kerana ramai yang tahu akan keharamannya namun masih tetap melakukannya.
Sifat jahil tersebut dapat dimaksudkan sebagai jahil terhadap Allah SWT kerana jauhnya diri mereka daripada-Nya serta kerasnya hati mereka, hinggakan tanpa rasa takut melakukan apa yang dilarang oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang disuruh oleh-Nya”. Perbuatan zina adalah satu dosa besar yang wajib dijauhi. Bahkan wajib dijauhi faktor-faktor yang dapat mendorong kepadanya. Orang yang berzina menunjukkan tahap imannya yang begitu rendah sekali. Kualiti imannya dapat digoyah dengan sekali rangsangan nafsu sahaja disebabkan tiada usaha dan kesungguhan untuk memelihara dan menjaganya. Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berzina seorang yang berzina ketika dia berzina padahal dia seorang mukmin, dan tidak akan mencuri ketika dia mencuri padahal dia seorang mukmin, dan tidak akan meminum arak ketika dia meminumnya padahal dia seorang mukmin.” (Riwayat al-Bukhari no. 2475, 5578, 6772, 6810, dan Muslim no. 57)

Zina adalah satu perbuatan yang sangat keji. Al-Quran menggambarkan zina itu dengan gambaran yang cukup buruk dan mampu memberi kesan yang amat negatif. Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (al-Isra’: 32) Zina juga dapat menarik bala bencana dan malapetaka, sabda Nabi SAW: “Apabila zahir/nyata zina dan riba dalam sesebuah tempat, maka penduduk tempat itu telah menghalalkan untuk diri mereka azab dan siksa Allah”. (Riwayat al-Hakim, dan katanya; sahih isnadnya) Anak Zina: Daripada Maimunah RA berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Umatku akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah ‘Azza wajalla akan menurunkan azab siksa kepada mereka seluruhnya.” (Riwayat Ahmad, kata al-Munziri – 3/265: isnadnya hasan) Pada tahun 2008, dilaporkan ada lebih 250,000 sijil kelahiran tanpa nama bapa. Menurut sumber berita, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengeluarkan 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa dari 2000 hingga Julai 2008.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata pendaftar tidak boleh mencatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf iaitu anak-anak luar nikah, kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa, selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 atau Akta 299. (BH, 29/10/08). Jika kita bahagikan, maka dalam setahun kira-kira 28,000 lebih kes berlaku, atau 78 kes dalam sehari! Ini adalah hasil perzinaan yang menyebabkan kehamilan. Bagaimana pula agaknya, jika dibayangkan dengan aktiviti zina yang tidak menyebabkan kehamilan? Berapa ramai agaknya jika kita andaikan, sekadar andaian sahaja, jika 1 kehamilan tersebut adalah nisbah bagi hasil daripada 10 perzinaan? Tentu jumlah yang terhasil adalah lebih besar, iaitu kira-kira 780 kes zina dalam sehari, atau lebih 280,000 kes zina dalam setahun, atau lebih 2.5 juta kes zina antara 2000-2008

Maka, benarlah sabdaan Nabi SAW bahawa tanda hampirnya kiamat ialah banyaknya berlaku perzinaan. Itu adalah kes-kes zina yang asalnya dilakukan secara tersembunyi, namun di akhir zaman nanti perzinaan tidak lagi dilakukan secara tersembunyi tetapi secara terang-terangan. Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As RA, sabda Nabi SAW: “Tidak akan berlaku kiamat itu sehingga orang berzina di jalanan sebagaimana keldai. Aku bertanya, Sesungguhnya itu akan terjadi? Jawab baginda: Ya, nescaya akan terjadi”. (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan al-Tabarani, hadith sahih) Jika ramainya penzina dan anak zina, maka munasabahlah dengan perkhabaran Nabi SAW, bahawa apabila kiamat dibangkitkan hanya ke atas orang-orang keji dan tidak mengenal Allah SWT. Remaja dan Gejala Zina: Gejala zina di kalangan remaja hari ini sebenarnya berada di dalam tahap yang sangat membimbangkan.

Ada remaja yang masih dibangku sekolah lagi mengaku telah beberapa kali mengadakan hubungan seks bebas (berzina) dengan teman perempuan. Bagaimana agaknya dengan yang tidak mengaku? Ada kes mengandung luar nikah semuda usia 9 tahun dan lelaki yang bertanggungjawab hanyalah seorang budak lelaki berusia 12 tahun. Jangan terkejut hari ini kalau anda menemui sekolah yang 40% pelajarnya adalah anak zina! Antara faktor-faktor penyebab kepada gejala ini ialah gaya hidup yang begitu jauh dengan gaya hidup sihat sebagai seorang muslim sejati. Kebanyakannya bermula dan berpunca daripada gaya hidup institusi keluarga itu sendiri. Begitu ramai remaja/pelajar yang terlibat dengan kegiatan sosial yang tidak bermoral, sama ada terlibat dengan lumba haram, pergaulan bebas, hiburan melampau, rokok, dadah, gam, ecstacy, ice, arak dan sebagainya. Situasi sosial dan hidup moden dalam masyarakat kita pada hari ini juga sebenarnya memarakkan lagi gejala zina, di mana berleluasanya budaya wanita yang mendedah aurat, berpakaian menjolok mata, penyebaran majalah-majalah yang mengghairahkan, video-video lucah, filem-filem berbentuk seksual, bahan-bahan seks yang penuh di dalam internet serta lain-lain media.

Gaya hidup moden sekarang banyak mendedahkan remaja kepada fenomena ini yang mendorong kepada hidup bebas, berpacaran dan pergaulan tanpa batas. Ini ditambah dengan faktor rangsangan nafsu syahwat, hasutan syaitan, dan dorongan budaya Barat yang buruk. Amalan hidup mereka ini dapat membawa kepada kerosakan dan kemusnahan diri mereka, baik di dunia mahupun di akhirat. Justeru, remaja perlu disedarkan tentang akibat buruk dan bahaya yang akan berlaku hasil tingkahlaku dan perbuatan mereka ini. Cara Mengatasi: Selain kita wajib menjauhi aspek-aspek negatif yang disebutkan, kita perlu kembali kepada cara asas yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Iaitu; Menundukkan pandangan, baik lelaki mahupun perempuan. Dalam erti kata khusus, menjaga pandangan mata daripada bercampur dengan unsur-unsur seksual. Daripada Jarir bin ’Abdillah al-Bajali RA, berkata: “Aku bertanya kepada Nabi SAW tentang memandang perempuan dengan pandangan secara tiba-tiba, maka baginda memerintahkanku untuk memalingkan pandanganku.” Dalam riwayat lain beliau bersabda: “Tundukkan pandanganmu.” (Riwayat Muslim) Daripada ’Abdullah bin Buraidah, dari ayahnya berkata, Rasulullah SAW bersabda kepada ’Ali bin Abi Talib RA: “Hai ‘Ali, janganlah engkau ikuti satu pandangan dengan pandangan lainnya. Sesungguhnya bagimu hanya pandangan yang pertama dan tidak bagi pandangan yang selanjutnya.” (Riwayat Abu Dawud) Menjauhi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Ini kerana pergaulan itu perlu bersandar kepada batasan-batasan syarak. Daripada Ibnu ’Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang lelaki yang berdua-duaan dengan seorang wanita, kecuali yang ketiganya adalah syaitan.” (Riwayat al-Tirmizi)

Menekankan tanggungjawab kaum lelaki dalam membimbing kaum wanita agar mengikuti kehendak syarak, seperti tanggungjawab bapa terhadap anak perempuan, dan tanggungjawab suami terhadap isteri dan sebagainya. Daripada Usamah bin Zaid RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah aku tinggalkan fitnah di tengah-tengah manusia sepeninggalanku yang lebih berbahaya daripada fitnah wanita.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Semoga kita dan zuriat kita dipelihara dan dijauhkan oleh Allah SWT daripada perbuatan keji dan maksiat ini. Wahai para pelajarku, janganlah kalian mendekati zina walaupun unsur-unsurnya yang kecil sekalipun, dan jauhilah perbuatan dosa dan maksiat.
Sumber: http://www.salafiah.net/